Kepelbagaian
Mempelbagaikan pelaburan dalam pelbagai kelas aset dan sektor-sektor yang berbeza akan mengurangkan risiko pelaburan. Tetapi untuk mempelbagaikan pelaburan, ia memerlukan jumlah wang yang besar dan banyak. Pelaburan melalui tabung unit amanah membantu mengurangkan risiko pelaburan individu kerana ia memberi peluang kepada pelabur-pelabur yang ingin melabur dengan modal yang kecil. Pelaburan ini dikumpulkan dan kemudiannya dilaburkan oleh pengurus dana dalam saham atau sekuriti yang dibenarkan bagi pihak pelabur. Dengan kepelbagaian pelaburan, risiko pelaburan dapat disebarkan.
Pengurus yang profesional
Berpeluang mendapat khidmat pengurus profesional yang selalunya tidak dapat dinikmati oleh pelabur individu yang melabur dengan modal yang kecil atau sekiranya pelabur melabur dalam simpanan deposit tetap atau dalam pasaran saham secara langsung.
Pentadbiran yang mudah
Pentadbiran jual, beli dan pegangan pelaburan dalam unit amanah adalah lebih mudah jika dibandingkan dengan pegangan portfolio pelaburan dalam pasaran modal yang dibuat secara langsung oleh pelabur.
Kecairan
Pelabur boleh menjual balik sebahagian atau semua unit amanah mereka pada bila-bila masa dalam waktu perniagaan.
Berkemampuan untuk melabur
Pelabur hanya memerlukan modal yang kecil untuk menyertai portfolio pelaburan yang diuruskan oleh pengurus profesional dan menikmati faedah yang sama dengan mereka yang melabur dalam sekuriti berharga tinggi. Pada masa yang sama, pelabur unit amanah dapat menikmati pulangan daripada portfolio pelaburan berbanding dengan jumlah sekuriti yang sedikit sekiranya mereka melabur terus dalam pasaran saham
KEKURANGAN
Risiko
Setiap pelaburan ada risikonya. Pelaburan dalam Skim Unit Amanah juga ada risikonya. Oleh itu, amat penting untuk pelabur mengetahui tentang risiko ini sebelum mereka membuat keputusan melabur dalam Skim Unit Amanah.
Perunding Unit Amanah mestilah memastikan pelabur Skim Unit Amanah diberikan penjelasan tentang risiko tersebut sebelum mereka melabur dengan menerangkan kepada pelabur tersebut tentang seksyen yang berkaitan dalam prospectus Skim Unit Amanah. Jadual prestasi Skim Unit Amanah dan bahan promosi lain yang diluluskan oleh Syarikat Pengurusan Unit Amanah berguna untuk menjelaskan kepada pelabur tentang perbezaan risiko pelaburan antara Skim Unit Amanah.
Kehilangan Kawalan
Pelabur dalam Skim Unit Amanah tiada hak untuk menentukan bagaimana simpanan mereka dilaburkan. Jika pengurus tabung Syarikat Pengurusan Unit Amanah melaburkan portfolio pelaburan Skim Unit Amanah mengikut prospectus dan surat ikatan, maka tidak banyak yang boleh dilakukan oleh pemegang unit jika mereka tidak bersetuju dengan keputusan pelaburan yang dibuat oleh pengurus tabung.
Pengurus tabung Syarikat Pengurusan Unit Amanah mestilah melabur mengikut prospectus dan surat ikatan walaupun jika keadaan pasaran atau ‘gaya’ pelaburan berubah.
Yuran Dan Bayaran
Perkhidmatan yang disediakan oleh Syarikat Pengurusan Unit Amanah bukanlah percuma. Memang ada yuran dan bayaran yang perlu dibayar oleh pelabur Skim Unit Amanah. Ini akan memberikan kesan ke atas pulangan pemegang unit walaupun yuran tersebut dikira berdasarkan kepakaran profesional yang diberikan kepada pelabur melalui Skim Unit Amanah.
Kos Melepas
Sebagaimana dengan mana-mana keputusan yang dibuat, pelabur yang melabur dalam Skim Unit Amanah mungkin memperoleh pulangan yang lebih baik daripada mereka terus melabur dalam pasaran. Lebihan ini merupakan ‘kos melepas’ daripada pelaburan Skim Unit Amanah.
Pelabur mungkin mempertikaikan bahawa mereka boleh mendapat pulangan yang lebih baik jika mereka melabur sendiri, terutama sekali apabila prestasi Skim Unit Amanah mengecewakan. Hal ini mungkin ada benarnya, namun satu aspek pelaburan yang sering dilupakan oleh pelabur langsung ialah tahap risiko yang diambil untuk mencapai pulangan tersebut. Pelaburan melalui Skim Unit Amanah memberikan tahap kepelbagaian yang tinggi untuk pelabur dengan simpanan yang terhad. Satu pelaburan langsung mungkin menghasilkan pulangan yang lebih berbanding pelaburan melalui Skim Unit Amanah, tetapi yang jelasnya, tahap risiko yang diambil oleh pelabur langsung jauh lebih besar daripada mereka yang melabur dalam Skim Unit Amanah.
No comments:
Post a Comment
Leave your message